14:24

Beza Antara Untung dan Riba

Ada orang menganggap untung dan riba itu sama sahaja sedangkan ia adalah dua perkara yang berbeza seperti firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"..Yang demikian ialah disebabkan mereka menyatakan bahawa sesungguhnya (untung) berjual beli itu sama seperti riba." (Surah Al-Baqarah, ayat 275).


HURAIAN

Riba adalah dilarang oleh Islam. Riba terdapat dua bentuk, riba jual beli dan riba hutang piutang. Riba jual beli melibatkan pertukaran benda-benda riba iaitu mata wang emas dan perak dan bahan makanan. Pertukaran barang itu boleh jadi riba jika berlebih kurang atau berhutang.

Riba hutang piutang berlaku apabila terjadinya kelambatan penerimaan atau penyerahan. Kelewatan ini dikenakan bayaran tambahan. Maka inilah yang dinamakan riba. Bayaran lebih yang dikenakan itu dikira sebagai keuntungan yang tidak halal.

Allah S.W.T. berfirman maksudnya:
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan tinggallah sisa-sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (daripada mengambil riba) maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiayai dan (tidak) pula dianiayai." (Surah Al-Baqarah, ayat 278-279)

Jual beli memang ada untung dan ruginya bergantung kepada kepandaian seseorang itu mengendalikan perniagaannya. Keuntungan yang diperolehi diredhai Allah malah orang ramai pun meredhainya. Inilah bezanya dengan riba.

Orang yang mengamalkan riba menganggap bahawa faedah yang mereka ambil daripada hutang piutang samalah dengan keuntungan yang didapati daripada jual beli. Sepatutnya perkara ini tidak menjadi kekeliruan di kalangan kita kerana Allah S.W.T. telah menjelaskan dalam ayat yang bermaksud:

"Padahal Allah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba." (Surah Al-Baqarah, ayat 275)

Oleh yang demikian, emas, perak atau wang hendaklah diberi kuasa kepada mana-mana pihak yang berupaya untuk diperniagakan. Keuntungan akan diagihkan kepadanya berdasarkan peratus daripada keuntungan itu. Maka ganjaran yang diterima itu adalah hasil daripada pelaburan halal. Maka ia dikira sebagai untung yang dibenarkan oleh syarak. Cuma yang dilarang ialah faedah menerusi hutang sebagaimana maksud hadis: "Bahawa setiap hutang yang membawa manfaat (duniawi) kepada si pemberi hutang (tuan punya hutang) adalah riba."

Berikut adalah perbezaan antara RIBA dan UNTUNG.

RIBA/FAEDAH/BUNGA

i. Penentuan faedah dibuat semasa akad tanpa diberi perhatian kepada untung atau rugi.
ii. Peratus kadar faedah berdasarkan jumlah hutang.
iii. Pembayaran faedah tetap seperti yang dijanjikan tanpa diambil kira sama ada projek yang dijalankan oleh pihak itu untung atau rugi.
iv. Jumlah kadar bayaran yang tidak meningkat sekalipun keuntungan berlipat ganda.
v. Pengambilan/pembayaran faedah/bunga adalah haram.

UNTUNG

i. Penentuan bahagian untung dibuat semasa akad dengan berasaskan kepada untung/rugi.
ii. Peratus pembahagian untung berdasarkan kepada jumlah keuntungan projek berkenaan. Kerugian akan ditanggung risikonya oleh kedua belah pihak.
iv. Jumlah kadar pemberian untung meningkat mengikut jumlah keuntungan yang dicapai.
v. Penerimaan/pembahagian keuntungan adalah halal.

0 comments: